SURAH AL-KAHFI DAN AKHIR ZAMAN

Formula dakwah pada akhir zaman tidak boleh mengutamakan aspek ranting seperti pemakaian serban dan janggut; tidak boleh bergelumang dalam debat membuang masa membincangkan perkara ranting dan khilafiah, juga tidak boleh mengikut emosi sehingga bertindak melampaui batas ke atas musuh-musuh Islam. Bagi menghadapi kemelut akhir zaman, umat Islam perlukan persiapan diri yang kukuh lagi mantap terutamanya di sudut kefahaman dan kerohanian. Berhubung dengan ini Nabi SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, an-Nasai dan Tirmizi

“Sesiapa yang menghafaz sepuluh ayat yang terawal daripada surah al-Kahfi, dia akan terpelihara daripada Dajal“.

Dalam sebuah riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Muslim, Tirmizi dan an-Nasai;

“Sesiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir daripada surah al-Kahfi, dia akan terselamat daripada fitnah Dajal.“

Menghafaz dan membaca yang disebutkan dalam hadith-hadith ini perlu difahami seperti yang difahami oleh sahabat-sahabat baginda, kerana mereka apabila menghafaz dan membaca al-Quran mereka melakukannya dengan penuh kefahaman. Kefahaman yang diperoleh daripada al-Quran akan mereka jadikan panduan dalam kehidupan demi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Apabila ayat-ayat daripada surah al-Kahfi ini dikaji, beberapa formula penting akan menonjol sebagai panduan untuk berjaya di akhir zaman. Antaranya :

(1) Al-Quran bukan untuk dipegang sebaliknya menjadi pegangan.

Pada ayat 1 dan 2 surah al-Kahfi, Allah menjelaskan:

“Tidak terdapat dalam al-Quran sebarang bengkang bengkok dan ia adalah bimbingan yang terbaik yang mampu membawa manusia ke jalan yang lurus.“

Memandangkan pada akhir zaman, ideologi dan isme yang bengkang bengkok akan menguasai dunia, kefahaman mengenai al-Quran adalah amat penting kerana ia akan memampukan manusia membezakan antara yang hak dan batil.

(2) Berwaspada dengan golongan yang ada mata tetapi buta.

Agama Kristian banyak terbabas daripada kebenaran asal yang dibawa oleh nabi Isa. Salah satu konsepnya yang sesat adalah konsep Trinity. Walau bagaimanapun penggerak-penggerak operasi tingkap 10/40 dan Stealth Crusade daripada kalangan Kristian begitu bersungguh-sungguh mengkristiankan orang-orang Islam pada hari ini. Berhubung dengan ini Allah menegaskan pada ayat 5,

“Jelik sekali perkataan yang keluar daripada mulut mereka dan mereka tidak mengatakan melainkan perkataan yang dusta.“

Umat Islam perlu berwaspada dengan golongan ini. 

(3) Ujian yang dahsyat memerlukan benteng yang kukuh.

Fitnah Dajal serta Yakjuj dan Makjuj amat mencabar dan mereka yang tidak kental iman dan takwanya akan mudah mengalah dan berputus asa. Allah mengingatkan kita mengenai hal ini dalam ayat 6,

“Mungkin kamu akan mengambil tindakan membunuh diri sendiri lantaran kesedihan di atas sikap-sikap mereka…“

Kekuatan dalaman adalah penting ketika menghadapi pancaroba akhir zaman.

(4) Awasi keseronokan sementara, tetapi sengsaranya selamanya.

Hiburan dan keseronokan yang melampau adalah salah satu hasil kemajuan pada akhir zaman. Dunia dan kesenangannya adalah fitnah dan ujian bagi manusia. Jika ia diambil dengan sikap dan cara yang betul, seperti yang dilakukan oleh nabi Sulaiman, ia akan menguntungkan duniadan akhirat seseorang. Sebaliknya apabila manusia sudi memperhambakan diri kepadanya, kebinasaan akhirnya akan menimpa mereka. Di Amerika, mengikut Adult Chamber of Commerce, kemasukan daripada industri seks melalui internet sahaja berjumlah lebih $6 bilion. Pada ketika yang sama amalan seks rambang menyebabkan lebih 13 juta manusia di Amerika menghidap penyakit jangkitan seksual setahun dan kos merawat dan mencegahnya menjangkau $10 bilion. Dalam ayat 7 Allah mengingatkan,

“Perhiasan dunia ini dijadikan Allah untuk menguji siapakah di antara manusia yang lebih baik amalannya. Akhirnya kesemua yang ada di atas muka bumi ini akan hancur seperti tanah yang diratakan”.

Umat Islam perlu mempunyai matlamat yang jelas supaya tidak terpedaya dengan keseronokan yang sementara.

(5) Memberikan fokus kepada golongan muda.

Dalam konteks ini, Ashabul Kahfi adalah contoh yang terbaik. Jumlah Ashabul Kahfi tidaklah ramai (Abdullah ibn Abbas berpendapat, berkemungkinan jumlah mereka hanya tujuh orang) tetapi mereka berani melawan arus. Mereka adalah anak muda yang tegas berpegang kepada prinsip da kebenaran walaupun ia berisiko tinggi. Pada akhir zaman, golongan yang akan berjaya adalah mereka yang bersikap seperti Ashabul Kahfi ini. Allah bertanya dalam ayat 9,

“Tidakkah kamu mengira Ashabul Kahfi dan batu bersurat adalah tanda-tanda kekuasaan Allah yang menakjubkan?“

Propaganda media massa pada akhir zaman akan menjadi begitu dahsyat sehingga mengubah nilai hidup manusia: zina dihalalkan, artis-artis yang rendah moral menjadi ikutan, pergaulan bebas dianggap lambang kemajuan, pendedahan tubuh badan menjadi simbol kebebasan dan amanah menjadi bahan permainan. Rata-ratanya nilai hidup yang ditekankan pada hari ini adalah berasaskan ‘formula rugi‘ tetapi pakar-pakar menegaskan ia adalah ‘formula untung‘. Inilah yang sedang berlaku pada hari ini dan ayat 104 Allah berfirman,

“(Orang-orang yang paling rugi adalah) mereka yang sia-sia perbuatannya di dunia sedangkan mereka menyangka perbuatan mereka adalah yang terbaik“.

Jiwa golongan muda perlu dihidupkan supaya mereka menjadi nadi kepada perubahan ke arah kebaikan.

(6) Mengocak gelombang perubahan berasaskan kesedaran.

Mereka yang bergelumang dalam kesesatan adalah mereka yang tidak memahami kebenaran lantas tertutup mata hati mereka. Selagi mana hal ini berlaku, perubahan ke arah kebaikan tidak akan terlaksana. Perubahan perlu dilakukan berasaskan kefahaman dan kesedaran seperti mana yang berlaku pada zaman Nabi SAW. Apabila kefahaman dan kesedaran tumbuh di hati, manusia akan nampak tanda-tanda kebesaran Allah dengan jelas dan terang dan hasilnya adalah perubahan yang akan terus berkembang hingga ke generasi akan datang. Allah menjelaskan dalamayat 101.

“(Golongan yang kafir adalah) mereka yang tertutup mata mereka daripada memperhatikan tanda-tanda kebesaran Allah dan mereka tidak mampu mendengar“.

Umat Islam perlu melakukan perubahan dengan menggerakkan gelombang baru berdasarkan kebenaran Ilahi.

(7) Membina minda baru, melonjakkan penyelidikan dan pembangunan.

Tuhan yang menurunkan Islam ialah Allah yang Maha Luas Pengetahuan-Nya. Tuhan Yang Maha Mengetahui tidak mungkin menurunkan Kitab serta agama yang sempit yang tidak mampu berkembang. Sebenarnya dalam al-Quran dan as-Sunnah terdapat ayat-ayat yang menjelaskan rahsia alam secara yang amat menakjubkan.  Rahsia-rahsia ini adalah kalimat-kalimat Allah, dan ia hanya akan dapat disingkap jika umat Islam rajin melakukan penyelidikan dan kajian alam semesta.  Dalam surah al-Kahfi Allah menceritakan mengenai Zulqarnain yang rajin menyelidik dan mencari pendekatan baru demi mencapai matlamat perjuangan beliau. Inilah yang perlu dilakukan pada hari ini. Penemuan-penemuan sains yang terkini akan menampakkan keunggulan al-Quran dan as-Sunnah dan ini akan menjadi modal penting ketika menggerakkan dakwah pada akhir zaman. Allah berfirman dalam ayat 109,

“Katakanlah, apabila lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Allah, akan keringlah lautan sebelum selesai menulis kalimat-kalimat itu walaupun didatangkan air lautan sebanyak itu pula“.

Umat Islam perlu rancakkan bidang kajian dan penyelidikan demi menggerakkan dakwah pada akhir zaman.

(8) Menggilap iman dan amal.

Kemuncak kepada kehidupan ini adalah memiliki iman yang sejahtera serta amal yang berkualiti. Apabila kedua-duanya dapat dipelihara dengan baik, manusia akan terselamat daripada pancaroba akhir zaman. Dalam ayat 107, Allah menegaskan:

“Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka syurga Firdaus sebagai tempat tinggal”.

Dalam ayat 110, iaitu ayat penutup surah al-Kahfi, Allah berfirman:

“Sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia melakukan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Allah”.

Sehubungan dengan ini, Nabi SAW bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim

“Beribadah pada zaman huru-hara adalah seperti berhijrah kepadaku.”

WALLAHU A’LAM.

SUMBER :  http://rushd1.blogspot.com/

semoga kita sama-sama beroleh manfaat. InshaAllah. 

This entry was posted in Islam. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s